Utama » Dr Shasa Aziz: Dari Audiologi ke Penerbitan, Perjalanan Seorang Usahawan Wanita yang Berjaya
Dr Shasa Aziz memulakan langkah seni seawal usia 7 tahun sebagai penari dan pelakon di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui program Tunas Budaya. Bagaimanapun selepas menduduki A-Level, beliau memilih melanjutkan pelajaran ke University College of London, United Kingdom, dalam bidang Audiologi. Beliau kemudian meneruskan pengajian ke Nova Southeastern University, Fort Lauderdale, Florida di Amerika Syarikat di mana beliau berjaya memperoleh gelaran ‘Doctor of Audiology’.
Selepas hampir 10 tahun menetap di UK, Dr Shasa kembali ke Malaysia berbekalkan pengalamannya bekerja di sana serta pengiktirafan dari American Institute of Balance. Pada tahun 2014, beliau membuka klinik pertamanya, Eartistic Hearing and Balance Centre, yang menawarkan perkhidmatan Audiologi dan rawatan keseimbangan. Klinik ini juga merupakan antara yang pertama di Malaysia yang menyediakan rawatan untuk pesakit vertigo dan masalah keseimbangan. Melalui klinik ini, Dr Shasa berhasrat mengubah persepsi dan meningkatkan kesedaran mengenai rawatan masalah keseimbangan di Malaysia. Sehingga kini, klinik ini mempunyai 7 cawangan dan bakal ditambah lagi 2 cawangan mini dengan kerjasama hospital dan rakan strategik serta mempunyai lebih 30 kakitangan.
Menyedari perjalanan sebagai usahawan bukanlah sesuatu yang mudah, Dr Shasa mula mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan seperti TERAJU di mana beliau bertemu ramai usahawan dan ini memberikan beliau lebih banyak peluang untuk belajar. Dr Shasa sekali lagi diuji ketika pandemik COVID-19 apabila beliau terpaksa menutup sementara kesemua tujuh cawangannya. Inilah titik tolak yang membawa Dr Shasa ke dalam bidang penerbitan animasi dan filem. Beliau mula menghasilkan animasi dan travelog untuk kanak-kanak iaitu siri “Jom! Kembara Utan” yang ditayangkan di TV3. Pada tahun 2021, beliau dianugerahkan Anugerah Wanita Waja oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dr Shasa yang juga aktif dalam program CSR, bertekad untuk untuk terus berjuang dalam bidang Audiologi dan keusahawanan bagi membantu golongan kurang berkemampuan. Beliau bercita-cita untuk membuka lebih banyak cawangan klinik di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar yang kurang mendapat akses kepada rawatan Audiologi. Selain itu, Dr Shasa juga mempunyai impian untuk membawa industri Audiologi Malaysia ke peringkat antarabangsa, dan pada masa yang sama, menjadi usahawanita yang berjaya.
Sebagai seorang usahawan Bumiputera dan usahawan wanita, Dr Shasa menyeru semua usahawan wanita di luar sana untuk terus berjuang, berbakti, dan berjasa kepada ummah, rakyat, dan negara. Beliau percaya bahawa dengan semangat dan dedikasi, setiap wanita mampu mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.