StudentQR: Inovasi Pengurusan Disiplin Pelajar Dengan Teknologi QR Pertama Dunia

Syed Huzaifah Syed Omar, pengasas aplikasi StudentQR, telah lama bergiat dalam bidang teknologi maklumat sebagai perunding yang dilantik oleh Kementerian Sumber Manusia dan mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam pembangunan perisian, sistem, dan aplikasi.

Berkelulusan dalam bidang Creative Multimedia (Hons) Virtual Reality dari Universiti Multimedia, beliau merupakan seorang pensyarah yang aktif melatih guru-guru dalam penggunaan perisian teknologi global seperti Google dan Microsoft. Inspirasi beliau untuk membantu guru-guru datang daripada pengalamannya bersama bekas guru-guru yang dihormati.

Berinspirasikan maklum balas guru-guru mengenai kaedah ganjaran tradisional, Syed Huzaifah mencipta StudentQR, satu sistem yang mesra pengguna untuk membantu guru meningkatkan disiplin pelajar. Aplikasi ini membolehkan guru memberi merit atau markah melalui imbasan kod QR pada lencana sekolah pelajar, mengikut sistem pendidikan di Malaysia. Sejak dilancarkan, StudentQR telah diguna pakai lebih 1.2 juta pelajar di Malaysia, dan turut digunakan di Amerika Syarikat serta Indonesia, di mana ia digunakan dalam program makanan gratis di Indonesia.

Bagaimanapun, cabaran dalam penyelenggaraan StudentQR adalah besar, terutamanya kerana kos yang tinggi dan kesukaran membangunkan sistem yang tiada rujukan sebelumnya. Walaupun menghadapi tekanan, Syed Huzaifah berjaya membangunkan pasukannya daripada hanya 2 orang kepada 80 kakitangan yang kini beroperasi di Malaysia dan Jakarta Pusat, Indonesia. Mereka turut menghasilkan komputer riba dan cetakan lencana QR inovasi pertama dunia yang digunakan oleh pelajar-pelajar, dengan kilang pembuatan yang terletak di Medan, Indonesia & di Shenzen China.

Kini, StudentQR telah digunakan secara meluas di negeri Johor, dengan harapan untuk diperluas ke seluruh Malaysia dan Indonesia. Syed Huzaifah juga bercita-cita menjadikan sistem ini sebagai alat rekod kehadiran di pejabat, menawarkan solusi dengan kos yang lebih berpatutan dan mudah digunakan. Sebagai usahawan Bumiputera, beliau berkongsi nasihat agar usahawan sentiasa fokus, konsisten, dan tidak mudah berputus asa dalam mengembangkan perniagaan mereka.