Menggapai Impian Pendidikan untuk Semua dengan Pandai Education

Khairul Anwar Mohamad Zaki, CEO Pandai Education Sdn Bhd, bersama rakan-rakannya yang juga anak-anak pendidik, telah dibesarkan dalam suasana yang menekankan kepentingan ilmu.  Pengalaman lebih sedekad dalam industri pendidikan membuatkan mereka faham tentang peranan pendidikan dalam membentuk masa depan yang lebih baik dan bertekad untuk membantu seramai mungkin pelajar melalui aplikasi digital. 

Dengan kesedaran tersebut, mereka membangukan aplikasi Pandai bagi memberi akses pendidikan berkualiti tinggi kepada semua pelajar, tidak kira yang cemerlang atau lemah, yang berkemampuan atau kurang berkemampuan.

Sebelum aplikasi Pandai dibangunkan, Khairul dan pasukannya membuat lawatan ke sekolah-sekolah di seluruh negara bagi memahami cabaran yang dihadapi oleh pelajar. Pandai dibangunkan untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua pelajar di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, dengan menyediakan pelbagai alat bantu belajar yang sesuai dengan keperluan masa kini.

Namun, perjalanan mereka tidak mudah. Pada awal pembinaan Pandai sekitar tahun 2020, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kekurangan dana. Namun, usaha keras mereka membuahkan hasil apabila Pandai berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk daripada Universiti Harvard di Amerika Syarikat serta menarik minat pelabur dari pelbagai Eropah dan Asia.

Aplikasi Pandai ditawarkan secara percuma atau berbayar, dan menawarkan ganjaran dalam bentuk baucar makanan, minuman, dan data prabayar sekiranya pengguna berjaya menjawab soalan di dalam aplikasi tersebut.

Impian Khairul dan pasukannya di Pandai Education adalah untuk terus memperluas manfaat aplikasi Pandai ke seluruh dunia serta membantu seramai mungkin pelajar mencapai potensi penuh mereka melalui pendidikan. Aplikasi Pandai adalah antara bukti produk tempatan yang dibangunkan untuk anak-anak tempatan boleh berjaya di peringkat global. Khairul percaya usahawan Bumiputera yang lain juga boleh berjaya sepertinya, insya-Allah.