Penguasaan ekonomi merangkumi pengawalan sektor ekonomi dalam pelbagai aspek seperti pemilikan syarikat dan pengagihan sumber. Dominasi politik juga boleh mempengaruhi penguasaan ekonomi.
Peningkatan daya saing adalah keupayaan perusahaan Bumiputera untuk bersaing dengan lebih baik dalam kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam pasaran tempatan dan antarabangsa. Penskalaan adalah proses meningkatkan kapasiti dan keupayaan perusahaan Bumiputera melalui pertambahan saiz modal serta jumlah tenaga kerja untuk meningkatkan pengeluaran, daya saing dan produktiviti.
Pembangunan bakat melibatkan proses memupuk dan meningkatkan kemahiran, kebolehan dan potensi untuk mencapai perkembangan individu dan profesionalisme.
Pemerkasaan ekosistem pendidikan memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan kualiti dan akses kepada pendidikan bagi semua lapisan masyarakat. Ini termasuk pembangunan infrastruktur pendidikan dan tenaga pengajar, pembangunan kurikulum yang bersesuaian dan penyediaan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang memerlukan. Ekosistem pendidikan bermula daripada peringkat prasekolah sehingga ke pengajian tinggi, dan turut merangkumi pembelajaran sepanjang hayat.
Penciptaan kekayaan melibatkan penghasilan nilai ekonomi melalui penjanaan kekayaan dengan memanfaatkan aset Bumiputera termasuk tanah wakaf dan Tanah Rizab Melayu.
Kekayaan boleh dinilai dalam bentuk aset bukan kewangan, termasuk pemilikan kediaman dan hartanah komersial.
Peningkatan pemilikan ekuiti memberi tumpuan kepada usaha memperluas pegangan ekuiti dengan penguasaan yang efektif, terutama melibatkan pegangan saham atau ekuiti Bumiputera.
Penyampaian perkhidmatan merangkumi usaha meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan. Ini termasuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan kemudahan asas lain.
Tatakelola pula merujuk kepada aspek kebertanggungjawaban, integriti dan ketelusan dalam tadbir urus yang menjadi tonggak kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan.
Penyertaan syarikat swasta, GLC dan GLIC menumpukan usaha dalam menyokong agenda pembangunan Bumiputera. Peranan ini didokong melalui penyertaan Bumiputera dalam syarikat swasta, GLC dan GLIC; penglibatan Bumiputera dalam industri strategik dan berimpak tinggi; serta melibatkan penyertaan Bumiputera dalam program di bawah kawal selia syarikat swasta, GLC dan GLIC.
Penghayatan falsafah Bumiputera menumpukan usaha untuk memperkukuh kesedaran, pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip pemerkasaan agenda Bumiputera dalam kalangan agensi yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan ikhtiar.
Falsafah ini turut merangkumi prinsip kebersamaan dan keadilan sosial, termasuk sejarah, warisan, budaya dan tradisi masyarakat Bumiputera.
Pembasmian kemiskinan tegar adalah iltizam untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan Bumiputera dengan tumpuan kepada aktiviti ekonomi, akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta peluang pekerjaan.
Pengukuhan sistem perlindungan sosial merujuk kepada penambahbaikan sistem sokongan sosial untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pembangunan sosioekonomi Orang Asli adalah untuk memperkasa komuniti Orang Asli agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Pengukuhan Pembangunan Sabah dan Sarawak bertujuan mengoptimumkan potensi ekonomi bagi mencapai keseimbangan wilayah selaras dengan aspirasi pembangunan negara