Sebut sahaja Kuala Perlis, pasti ramai yang terbayang keindahan pekan pesisir pantai yang terkenal sebagai ‘syurga’ makanan laut, baik bagi penduduk tempatan mahupun pelancong dari luar.
Salah satu destinasi yang wajib dikunjungi ialah Asputra Ikan Bakar! Restoran ini sinonim dengan hidangan ikan bakar yang lazat, memenuhi cita rasa masyarakat tempatan. Diasaskan oleh tiga usahawan muda Bumiputera yang berwawasan – Mohd Abdul Hamid Ahmad, Mohd Fahimie Hassan dan Mohd Hafirzi Hassan – Asputra Ikan Bakar berjaya menggabungkan teknologi dan inovasi dalam operasi mereka. Dengan sistem pesanan yang lebih pantas dan efisien, setiap hidangan disajikan dengan segar dan segera kepada pelanggan.
Kejayaan Asputra Ikan Bakar tidak datang begitu sahaja. Mereka telah mendapat bimbingan dan sokongan melalui Program Geran Digital MARA, sebuah inisiatif untuk membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan, seterusnya meningkatkan sosioekonomi komuniti sekitar.
Bermula dari Kuala Perlis, Asputra Ikan Bakar kini melangkah lebih jauh dengan membuka cawangan kedua di Sungai Petani. Pembukaan ini bukan sahaja tanda kejayaan mereka tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.
Sebagai syarikat milikan penuh Bumiputera, Asputra Ikan Bakar membuktikan bahawa usaha gigih dan inovasi mampu membawa kejayaan. Pencapaian ini juga selari dengan misi PuTERA35 untuk memperkasakan penyertaan usahawan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Jadi, jika anda berada di Kuala Perlis atau Sungai Petani, jangan lepaskan peluang merasai keenakan hidangan ikan bakar terbaik di Asputra Ikan Bakar!