SS Rover dikenali sebagai peneraju dalam bidang robotik jarak jauh, meliputi perkhidmatan refurbishment, latihan, dan operasi robotik. Dengan memanfaatkan teknologi terkini, syarikat ini berupaya menyediakan penyelesaian yang pantas, cekap, dan lestari untuk pelbagai industri di pelbagai sektor.
Dengan visi untuk “Menjadi pusat sehenti global bagi penyelesaian robotik jarak jauh, dan komited untuk mencapai matlamat ini dengan meneroka sempadan keupayaan dalam teknologi robotik jarak jauh” serta misi untuk “Sentiasa mempertingkatkan dan membina masa depan industri robotik jarak jauh dengan mencipta nilai serta peluang unik untuk pelanggan kami melalui servisitisasi. Kami yakin matlamat ini dapat dicapai melalui rangka kerja perkhidmatan teknikal kami yang menyeluruh”, SS Rover terus melangkah maju sebagai pemacu inovasi dalam industri robotik.
Kini, SS Rover bukan sahaja berjaya membantu perusahaan tempatan di Malaysia, tetapi turut meluaskan perkhidmatannya ke pasaran antarabangsa, termasuk Indonesia. Perkhidmatan robotik berteknologi tinggi yang ditawarkan di negara jiran ini membuktikan kemampuan syarikat dalam memenuhi keperluan global dengan standard yang cemerlang.
Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan dan sokongan daripada VentureTECH, sebuah syarikat pelaburan strategik yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia. VentureTECH memainkan peranan penting dalam menggalakkan penyertaan syarikat tempatan, khususnya dalam industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan.
Pencapaian SS Rover sebagai syarikat milikan penuh Bumiputera di persada antarabangsa sememangnya wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja membuka peluang baru dalam industri robotik, tetapi turut mengharumkan nama negara di mata dunia.